KUALA LUMPUR: Dalam persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Barisan Nasional (BN) menegaskan parti itu mahu meraih mandat melalui kekuatan sendiri, bukannya menjadikan fitnah, serangan peribadi atau kempen memburukkan lawan sebagai modal politik.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata parti itu tidak seharusnya bergantung pada fitnah, sentimen kebencian atau serangan terhadap lawan untuk meraih sokongan, sebaliknya perlu membuktikan keupayaan sendiri.
Beliau berkata, jentera penerangan BN di semua peringkat perlu mempergiat penyebaran maklumat mengenai calon, manifesto dan perancangan parti, termasuk menerusi platform digital bagi memastikan tawaran mereka sampai kepada pengundi.
“Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azalina turut menggesa jentera penerangan UMNO, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, memperkukuh kempen media sosial dengan pendekatan lebih kreatif, dinamik dan dekat dengan pengundi muda.
Katanya, keperluan itu semakin penting apabila 43.6 peratus pengundi di Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun, sekali gus menjadikan media sosial antara saluran utama untuk menyampaikan maklumat dan membentuk pandangan mereka.
Beliau mengingatkan jentera parti supaya menggunakan akaun sebenar, mengamalkan komunikasi berhemah serta mengelakkan serangan peribadi yang boleh menjejaskan imej parti.
Pada masa sama, Azalina mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti akaun automatik atau bot yang menyebarkan naratif tertentu secara berulang dan berskala besar.
Dakwaan mengenai sekatan capaian kandungan atau shadow ban serta penurunan hantaran oleh platform digital, katanya, perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat yang sahih.
“Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi,” katanya.
Beliau berkata, kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau melanggar sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) boleh dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu, kesalahan pilihan raya boleh dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.
Terdahulu, SPR mengesahkan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata jumlah itu merangkumi 24 calon Pakatan Harapan (PH), BN (23), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (seorang) dan calon Bebas (tiga).
Daripada 23 calon BN, seramai 18 mewakili UMNO, empat MCA dan seorang MIC.










