Premis Pemprosesan Ayam Di Puchong Diarah Tutup, Didapati Sembelih Bangkai

SHAH ALAM: Sebuah premis pemprosesan ayam di Puchong diarahkan tutup selama dua minggu selepas pemeriksaan mendapati kaedah kejutan elektrik yang digunakan dipercayai menyebabkan ayam mati sebelum disembelih, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status halal produknya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin, berkata siasatan awal mendapati voltan elektrik dalam kaedah kejutan rendaman air dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta.

“Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya ketika ditemui pada Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Negeri Selangor 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Serbuan tengah malam tadi diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Menurut Salehuddin, premis yang dipercayai beroperasi sejak 2004 itu membekalkan ayam diproses kepada restoran milik umat Islam.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil dan menggesa pemilik restoran yang menerima bekalan daripada syarikat berkenaan supaya menghentikan penggunaannya serta-merta sehingga status produk dapat dipastikan.

Umat Islam dan pengusaha makanan turut diingatkan supaya menyemak sumber bekalan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan halal.

Terdahulu, JAIS merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan Islam dalam serbuan menerusi Op Taring Chiller di sebuah gudang di Puchong pada jam 12.40 tengah malam tadi.

BBerkaitan

Latest articles