KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan jatuh miskin atau muflis hanya kerana menyalurkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, sebaliknya amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kekayaan negara menjadi ancaman sebenar kepada kestabilan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, membantu golongan memerlukan bukan satu beban kepada negara, sebaliknya tanggungjawab kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan hasil pembangunan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan itu dizahirkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini.
Selain bantuan kewangan, kerajaan turut melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam dan gaji minimum bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“Tak ada negara dan kerajaan di dunia yang jadi miskin kerana tolong orang miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan, semalam.
Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa kedudukan ekonomi negara boleh terjejas apabila kekayaan awam diseleweng atau digunakan untuk memenuhi kepentingan kelompok tertentu.
Menurutnya, amalan rasuah, ketamakan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran merupakan antara faktor yang boleh merosakkan kewangan negara, bukannya usaha kerajaan membantu rakyat yang memerlukan.
Beliau menegaskan, prinsip membela golongan berpendapatan rendah perlu terus dipertahankan selagi bantuan disalurkan menerusi pengurusan kewangan yang berhemah serta tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.










