Loke Cabar Wee Berdebat, Pertikai Tindakan Sasar Calon DAP Di Bandar Hilir

KUALA LUMPUR: Pengangkutan Loke Siew Fook mencabar pendahulunya, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berdebat mengenai pencapaian masing-masing ketika menerajui kementerian itu.

Setiausaha Agung DAP itu menyindir tindakan Wee yang mencabar calon DAP bagi kerusi Bandar Hilir, Leng Chau Yen, berdebat dengan pencabarnya daripada MCA, Jasmine Lok.

Loke menuduh Presiden MCA itu bersikap pembuli dan cuba mengambil kesempatan terhadap masalah pertuturan Leng, sambil menegaskan keadaan itu tidak menghalang wakil rakyat berkenaan daripada berkhidmat dengan baik kepada penduduk Bandar Hilir sepanjang lima tahun lalu.

“Beliau sudah membuktikan kemampuan dirinya dan telah berkhidmat sepenggal. Jadi, mengapa Wee hanya menyasarkan seorang calon? Mengapa tidak kerusi lain?

“Jika beliau mahukan debat, saya boleh berdebat dengannya pada bila-bila masa mengenai isu pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam ucapannya pada konvensyen itu, Loke turut mengecam Wee kerana didakwa menyasarkan Leng, sambil berkata MCA sepatutnya ‘berdepan dengan kami di semua kerusi’ jika Wee mahu mencabar DAP.

“Saya juga boleh berdebat dengannya (Wee) mengenai apa yang dilakukannya sebagai menteri pengangkutan berbanding pencapaian saya ketika menerajui kementerian itu. Kami tidak takut dicabar,” katanya.

Loke pertama kali berkhidmat sebagai menteri pengangkutan dari 2018 hingga 2020 sebelum kehilangan jawatan itu susulan kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan.

Wee mengambil alih jawatan berkenaan dan berkhidmat sehingga 2022, sebelum Loke dilantik semula pada Disember tahun sama selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles