Hadi Bayangkan Kerjasama BN-PN Diperluas Hingga PRU

HANG TUAH JAYA: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi melangkaui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah diperluas ke peringkat Persekutuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberi bayangan positif terhadap kesinambungan kerjasama itu, sambil menyatakan keyakinan bahawa hubungan antara kedua-dua gabungan berkenaan mampu diperkukuh menerusi pengalaman menghadapi beberapa pilihan raya negeri.

Menurutnya, BN dan PN akan terus berusaha merapatkan jurang perbezaan, menyelaraskan gerak kerja jentera serta meningkatkan peluang kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Insya-Allah, kerjasama itu akan berterusan. Kita jangka keadaan akan menjadi lebih baik selepas memperoleh pengalaman di Johor, Negeri Sembilan dan kini, buat kali ketiga, di Melaka.

“Insya-Allah, kerjasama ini akan diperluaskan ke peringkat Persekutuan dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberikan sokongan kepada calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Tun Ali, pagi tadi.

Mengulas kemungkinan kerjasama itu turut melibatkan negeri yang ditadbir PAS, termasuk Kelantan dan Terengganu, Hadi tidak menolak kemungkinan berkenaan.

“Insya-Allah, akan ada kerjasama,” katanya.

Bagi PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN, manakala PAS bersama rakan strategiknya bertanding di lima kerusi selebihnya.

Pada PRN Melaka 2021, BN menguasai 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi, manakala PN memperoleh dua kerusi.

BBerkaitan

Latest articles