KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) berpandangan Ahli Parlimennya tidak perlu menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI kerana sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan Rang Undang-Undang (RUU) sebelum ini sudah membuktikan komitmen pembangkang.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerajaan sepatutnya menyalurkan peruntukan secara adil kepada semua kawasan Parlimen tanpa menjadikannya bergantung kepada persetujuan menandatangani CSA.
Beliau menegaskan, amalan berkenaan tidak wajar dijadikan budaya politik baharu, apatah lagi jika peruntukan digunakan sebagai tekanan terhadap Ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, pembangkang selama ini menyokong Belanjawan dan kebanyakan RUU kerajaan, kecuali RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang turut tidak mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen kerajaan.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan CSA sebagai instrumen ugutan atau sogokan, khususnya ketika negara sedang giat membanteras amalan rasuah.
Beliau berharap peruntukan diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi memastikan prinsip keadilan dan sistem demokrasi terus dipelihara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani CSA akan disalurkan segera selepas Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen.










