KUANTAN: Seramai 563 peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) di Pahang bakal menikmati kenaikan bayaran sara hidup bulanan sebanyak RM100, menjadikan kadar baharu RM1,100 seorang bermula Januari 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) bagi membantu peserta berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, kadar bayaran berkenaan dinaikkan selepas tidak pernah disemak sejak 2013, sekali gus menjadikan penilaian semula perlu dilakukan mengikut keperluan semasa.
Kenaikan itu membabitkan peserta di empat penempatan iaitu Sungai Chalit di Raub serta Merapoh, Peruang dan Jerkoh di Lipis.
“Pelaksanaan kenaikan ini membabitkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM675,600 setahun dan akan bermula Januari 2027,” katanya dalam kenyataan.
Wan Rosdy berharap penambahbaikan itu dapat meringankan beban perbelanjaan harian peserta serta keluarga mereka.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st.










