Faktor Boleh Menang, Kajian Lapangan Bolehkan BN-PN Serah Dua Lagi Kerusi Kepada MCA

ALOR GAJAH: Faktor kemampuan memenangi pilihan raya dan hasil kajian terperinci di lapangan menjadi pertimbangan utama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MCA untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keputusan memberikan kerusi Kota Laksamana dan Bandar Hilir kepada MCA dibuat menerusi persetujuan bersama selepas mengambil kira potensi kemenangan parti itu di kedua-dua kawasan berkenaan.

Beliau berkata, agihan kerusi berkenaan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak, sebaliknya hasil rundingan yang mengambil kira kepentingan bersama dalam memastikan kemenangan gabungan berkenaan.

Katanya, keputusan itu menjadikan MCA bertanding di empat kerusi DUN, manakala jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi BN meningkat kepada 23.

“Rundingan dibuat atas kepentingan bersama dengan mengambil kira kajian yang menunjukkan kerusi berkenaan lebih baik diserahkan kepada parti yang mempunyai potensi lebih tinggi untuk menang.

“Kedua-dua pihak bersetuju menyerahkannya kepada MCA,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang di Masjid Tanah.

Mengulas dakwaan keputusan berkenaan dibuat susulan tekanan MCA pada saat akhir, Ab Rauf menafikannya sambil menegaskan pembahagian kerusi diselesaikan secara harmoni menerusi semangat permuafakatan.

Menurutnya, pengalaman dan kematangan BN yang menjangkau lebih 70 tahun menjadi asas kepada penyelesaian sebarang perbezaan pendapat melalui perbincangan dan pendekatan kekeluargaan.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya dipolemikkan kerana persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 November dan pengundian biasa pada 14 November bagi PRN Melaka.

BBerkaitan

Latest articles