Dua Lelaki Didakwa Hina Tuanku Muhriz Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Dua pengguna media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik melampau terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tertuduh, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul’izzi Zainal Abidin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ilmami Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Abdullah didakwa menggunakan akaun TikTok bernama rookiebenz_albenzauto untuk melakukan kesalahan berkenaan pada jam 11.27 malam, 1 Ogos lalu.

Ashadi pula didakwa melakukan kesalahan sama menerusi akaun Threads razakahmad725 pada jam 2.39 petang, 4 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Zameri, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan menghadapi kesukaran kewangan serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai mekanik sambilan selepas kehilangan pekerjaan tetap kira-kira tiga bulan lalu susulan kes berkenaan.

Ashadi pula berkata, pendapatannya sebagai pereka grafik sambilan tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah tugasan yang diterima.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember ini.

BBerkaitan

Latest articles