Kerajaan Kekal Sistem FPTP, Terbuka Cadangan Reformasi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) yang diamalkan Malaysia ketika ini masih relevan dan sesuai diteruskan berdasarkan penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sistem berkenaan mempunyai kelebihan kerana mudah difahami selain membolehkan hubungan lebih rapat antara pengundi dengan wakil rakyat.

Beliau berkata, pendirian itu berdasarkan penelitian SPR terhadap kajian perbandingan sistem FPTP dan Perwakilan Berkadar (Proportional Representation – PR).

“SPR mengambil maklum akan kajian perbandingan sistem First Past The Post (FPTP) dan Proportional Representation (PR) yang telah dibentangkan.

“Hasil penelitian pihak SPR mendapati sistem sedia ada FPTP yang digunakan pakai ini masih relevan dan sesuai untuk diteruskan dalam konteks Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian dan perancangan melaksanakan reformasi sistem pilihan raya, termasuk mempertimbangkan sistem perwakilan berkadar secara separa sebagai penambahbaikan kepada sistem FPTP.

Azalina berkata, sistem berkenaan turut diamalkan beberapa negara demokrasi besar seperti India dan United Kingdom.

Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya ditubuhkan menerusi usul yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Oktober 2011.

Katanya, jawatankuasa itu meneliti undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di Malaysia, termasuk mengkaji sistem alternatif bagi pelaksanaan pilihan raya.

“Hasil laporan-laporan tersebut telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Disember 2011 dan 3 April 2012,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagaimanapun, Azalina berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan menyambut baik sebarang cadangan penambahbaikan sistem pilihan raya negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan reformasi institusi.

“Walau bagaimanapun, sebarang cadangan memerlukan penelitian yang menyeluruh dengan mengambil kira aspek dasar, perundangan, pentadbiran serta kesan terhadap landskap politik negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles