KUALA LUMPUR: Pengusaha van persiaran merayu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempermudah proses permohonan senarai perjalanan atau tourlist bagi memastikan operasi pengangkutan pelancongan berjalan lebih lancar, khususnya membabitkan tempahan saat akhir.
Rayuan itu dikemukakan Persatuan Pemandu Van Malaysia dan Persatuan Van Pelancongan Malaysia menerusi satu kenyataan yang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta pihak kementerian mempertimbangkan cadangan berkenaan.
Menurut persatuan itu, prosedur sedia ada yang memerlukan pelbagai maklumat dan dokumen menyukarkan pengusaha apabila menerima tempahan secara mengejut.
Katanya, keadaan itu menjadi cabaran apabila pemandu sedang menjalankan tugas di luar sebelum menerima tempahan baharu untuk mengambil penumpang, misalnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel di ibu negara.
“Persoalannya, bagaimana kami hendak menyediakan semua dokumen tersebut dalam masa yang singkat, sedangkan tempahan kadangkala diterima secara mengejut?” menurut kenyataan itu.
Persatuan berkenaan menjelaskan, penumpang terbabit mungkin rakyat tempatan atau pelancong asing yang hanya memerlukan perkhidmatan pemindahan dari lapangan terbang ke hotel, bukannya pakej lawatan pelancongan.
Sehubungan itu, mereka mencadangkan MOTAC mengurangkan keperluan dokumen yang tidak perlu serta mewujudkan sistem permohonan segera secara dalam talian bagi mengendalikan tempahan saat akhir.
Cadangan lain termasuk membenarkan pengusaha mengemukakan maklumat asas penumpang, lokasi pengambilan, destinasi dan butiran perjalanan menerusi sistem lebih mudah.
Persatuan itu turut mencadangkan caj pemprosesan RM20 bagi setiap permohonan, sekiranya dibenarkan kementerian.
Selain itu, mereka meminta MOTAC menyediakan garis panduan lebih jelas bagi membezakan perjalanan pemindahan penumpang (transfer) dengan lawatan pelancongan (sightseeing tour).
“Kami bukan meminta pengecualian daripada undang-undang. Kami hanya memohon supaya sistem permohonan tourlist dipermudahkan, lebih fleksibel dan sesuai dengan keadaan sebenar operasi pengangkutan pelancongan,” menurut kenyataan itu.
Persatuan berkenaan berharap cadangan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Tiong dan pihak MOTAC demi kelangsungan perniagaan pengusaha van persiaran, kemudahan pengguna serta kelancaran industri pelancongan negara.










