Kerajaan Pertimbang Dedah Laporan Siasatan Saham Azam Baki

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan mendedahkan laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertimbangan itu akan dibuat dengan mengambil kira peruntukan undang-undang berkuat kuasa, khususnya berkaitan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta.

Beliau berkata, isu berkaitan pemilikan dan perisytiharan harta, termasuk pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, telah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan telah menyelesaikan siasatan secara bebas, telus dan profesional sebelum hasilnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Jawatankuasa tersebut telah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, dan hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menyatakan dapatan siasatan jawatankuasa khas berhubung dakwaan pemilikan saham Azam serta sama ada tindakan akan diambil terhadap beliau berdasarkan hasil siasatan itu.

Khoo turut meminta kerajaan menjelaskan sama ada laporan penuh jawatankuasa berkenaan akan didedahkan kepada umum.

Azalina berkata, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara itu yang wajar dimaklumkan kepada umum akan diumumkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Katanya, pendekatan itu adalah selaras dengan kenyataan media yang dikeluarkan pejabat berkenaan pada 31 Mac 2026.

BBerkaitan

Latest articles