MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka akan membuka bilik gerakan selama 24 jam bagi menerima maklumat dan aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
SPRM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, bilik gerakan itu akan mula beroperasi pada Sabtu, 31 Oktober hingga 14 November ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang proses pilihan raya menerusi bilik gerakan berkenaan.
“Bilik gerakan ini akan beroperasi 24 jam mulai Sabtu, 31 Oktober 2026 hingga 14 November 2026,” menurut kenyataan itu.
Bilik gerakan berkenaan terletak di Pejabat SPRM Melaka, Jalan Alai Perdana 16, Taman Alai Perdana, 75460 Melaka.
Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan menerusi e-mel [email protected] atau menghubungi talian pejabat SPRM Melaka di 06-289 6000.
Selain itu, aduan boleh disalurkan terus ke bilik gerakan menerusi talian 06-289 6303 atau talian 24 jam dan WhatsApp di 011-2679 1569.
Dalam pada itu, SPRM mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta pihak yang terbabit dalam PRN Melaka ke-16 supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.










