KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengenakan sebarang syarat terhadap Ahli Parlimen untuk mendapatkan peruntukan pembangunan kawasan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), sebaliknya penyalurannya boleh dibuat sebaik Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan perkara itu ketika menjelaskan persefahaman yang dimeterai antara kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang, sekali gus menolak tanggapan bahawa peruntukan berkenaan disertai syarat tertentu.
“Tak ada syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen, tak ada syarat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, hari ini.
Mengulas dakwaan penganalisis politik bahawa CSA boleh menjadi mekanisme untuk menghalang komponen kerajaan daripada menarik sokongan terhadap pentadbiran atau belanjawan, Anwar berkata pandangan itu merupakan tafsiran politik yang tidak dapat diketepikan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persefahaman seumpama itu bukan perkara luar biasa dalam sistem demokrasi, malah pernah dilaksanakan di Malaysia ketika beliau mengetuai pembangkang semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, rundingan ketika itu membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Anwar turut menyifatkan persetujuan yang dicapai sehari sebelum itu sebagai perkembangan positif, selain berpandangan pendekatan sama boleh digunakan pihak lain sebagaimana dilakukan kerajaan terdahulu.
Menerusi perjanjian berkenaan, enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bersetuju menyokong kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk meluluskan Belanjawan 2027.
Sebagai sebahagian daripada persefahaman itu, mereka mengemukakan tuntutan supaya tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan, peranan Peguam Negara dipisahkan daripada Pendakwa Raya sebelum penggal kerajaan semasa berakhir, selain menerima peruntukan pembangunan kawasan setara dengan Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Perjanjian itu turut ditandatangani enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti pada 2024 selepas mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.










