6.5 Tan Ayam Disyaki Tidak Halal Dirampas, 12 Warga Asing Ditahan

PUCHONG: Sebanyak 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 dirampas selepas pihak berkuasa membongkar kegiatan penyembelihan dan pemprosesan ayam yang disyaki tidak mematuhi kaedah ditetapkan syarak di sebuah gudang di Puchong.

Lebih membimbangkan, pemeriksaan mendapati ayam berkenaan dipercayai direndam dalam air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan, sekali gus menimbulkan keraguan serius terhadap status halal bekalan berkenaan.

Dalam serbuan menerusi Ops Taring Chiller pada jam 12.40 tengah malam itu, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata gudang itu disyaki digunakan sebagai pusat penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.

Menurutnya, sebanyak 468 bungkusan plastik mengandungi ayam mentah dirampas dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Petaling.

Siasatan awal mendapati bekalan ayam itu diperoleh daripada beberapa ladang di sekitar Sepang sebelum diproses dan dipercayai diedarkan kepada pelanggan, termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya di sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, semua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

BBerkaitan

Latest articles