Wan Fayhsal Dakwa CSA Belenggu Pembangkang, Hilang Kuasa Semak Imbang Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Ahli Parlimen pembangkang yang bersetuju menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko kehilangan kebebasan untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

Pemimpin Wawasan itu menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai berat sebelah dan mendakwa ia boleh menyekat kebebasan wakil rakyat pembangkang daripada membangkitkan isu sensitif berkaitan pentadbiran kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan tindakan tujuh Ahli Parlimen pembangkang yang bersetuju memberikan sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk meluluskan Belanjawan 2027.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlibat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai), selain Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, mereka mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum tamat penggal kerajaan serta memastikan peruntukan pembangunan kawasan diagihkan secara sama rata.

Wan Fayhsal turut mendakwa cadangan CSA pernah ditolak dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu dan oleh bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin, kerana disifatkan boleh membawa kesan buruk.

Malah, katanya, draf baharu yang dikemukakan kerajaan juga tidak mendapat persetujuan pihaknya.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan CSA itu sebagai mekanisme untuk mewujudkan pembangkang yang terkawal, sekali gus mempersoalkan sejauh mana wakil rakyat terbabit mampu mempertahankan kepentingan rakyat.

Beliau turut menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pendirian dan tindakan Ahli Parlimen yang terlibat dalam perjanjian berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles