Pegawai Polis Terlepas Hukuman Mati, Dipenjara 7 Tahun 6 Bulan

IPOH: Pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pada Disember 2023.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 304(b) kanun sama, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet turut memerintahkan Mohd Nazri membayar pampasan RM50,000 kepada bapa mangsa.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi di persimpangan Jalan Taman Jati 1, Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Seksyen 304(b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum keputusan dimuktamadkan, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, menyampaikan pernyataan impak mangsa kepada mahkamah dan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau dilihat sebak ketika membacakan pernyataan itu.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mirza Muhaimi Zaidi, berkata keluarga berkenaan menghormati keputusan mahkamah serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang prosiding hampir tiga tahun itu.

BBerkaitan

Latest articles