JOHOR BAHRU: Cubaan pasangan suami isteri membawa wang tunai RM1.97 juta dan S$300,000 ke Singapura tanpa pengisytiharan gagal apabila mereka ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), semalam.
Pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kira-kira jam 11.40 pagi ketika menaiki Toyota Alphard di laluan keluar menuju Woodlands.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, wang berjumlah RM1,971,697 dan S$300,000 itu ditemukan dalam tiga kotak, sebuah beg galas hitam serta beg kertas selepas pemeriksaan lanjut dilakukan.
Menurutnya, tujuan sebenar wang itu dibawa ke Singapura masih disiasat, manakala wang tunai dan kenderaan berkenaan disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.
Pasangan yang merupakan ahli perniagaan itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 55(1)(b), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
AKPS turut mengingatkan bahawa individu yang membawa wang tunai melebihi nilai bersamaan AS$10,000 (kira-kira RM40,000) wajib membuat pengisytiharan kepada pihak berkuasa.










