KUALA LUMPUR: Pemaju pusat data diwajibkan menyediakan tangki simpanan air di premis masing-masing dengan kapasiti minimum bagi kegunaan dua hari bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan air awam ketika berlaku gangguan bekalan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu merupakan antara pendekatan kerajaan bagi memastikan pembangunan industri pusat data tidak menjejaskan kesinambungan bekalan air kepada pengguna.
Beliau berkata, keperluan berkenaan ditetapkan menerusi Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data.
“Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mensyaratkan operator bekalan air dan pemaju pusat data meneroka serta memanfaatkan sumber air alternatif bagi sistem penyejukan.
“Ini termasuk air kitar semula, air pulih guna dan penuaian air hujan bagi mengurangkan kebergantungan pada bekalan air terawat,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) mengenai pelan kontingensi kerajaan bagi memastikan operasi pusat data tidak mengganggu keperluan penggunaan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.
Fadillah berkata, pembangunan pusat data diteliti menerusi Data Centre Task Force (DCTF), yang diurusetiakan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Digital dengan mengambil kira keupayaan sistem bekalan air dan elektrik di kawasan terlibat.
Menurutnya, kawasan yang mempunyai margin rizab air rendah tidak akan dipertimbangkan untuk pembangunan pusat data, tertakluk kepada ketetapan yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, setiap operator air juga mempunyai pelan tindakan kecemasan dan mitigasi bagi menangani gangguan bekalan tidak berjadual, krisis atau bencana.
“Antara langkah yang boleh dilaksanakan mengikut keperluan operasi ialah pembekalan air menggunakan lori tangki dan tangki statik serta bantuan bekalan air rentas negeri melalui kerjasama yang diselaraskan oleh SPAN.
“Sekiranya keadaan bekalan menjadi kritikal, langkah mitigasi lanjut boleh melibatkan pelaksanaan bekalan air berjadual atau sekatan bekalan air,” katanya.
Mengulas bekalan elektrik pula, Fadillah berkata, setiap permohonan bekalan elektrik bagi pembangunan pusat data akan melalui penilaian teknikal menyeluruh oleh Energy Focus Group (EFG), yang diurusetiakan oleh Suruhanjaya Tenaga, sebelum dibawa ke peringkat DCTF.
Katanya, penilaian itu mengambil kira keupayaan sistem tenaga, rangkaian penghantaran dan pembahagian elektrik serta keperluan pelaburan infrastruktur.
Beliau berkata, industri pusat data turut digalakkan membangunkan kemudahan penjanaan elektrik sendiri menerusi inisiatif Solar for Self-Consumption bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional serta mengelakkan pemindahan kos kepada pengguna lain.
Selain itu, kerajaan meluluskan penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu daripada jumlah kapasiti atau penggunaan tenaga pusat data.
“Pusat data turut digalakkan menyertai Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) untuk mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.
“Suruhanjaya Tenaga sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh mengenai kemudahan penjanaan sendiri serta penetapan penggunaan 30 peratus tenaga boleh baharu bagi sektor pusat data,” katanya.
Fadillah berkata, pusat data juga perlu dilengkapi penjana elektrik sandaran yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kawalan permintaan, khususnya untuk mengurangkan tekanan terhadap grid ketika tempoh kritikal dan apabila rizab operasi berada pada paras rendah.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa sehingga Ogos 2026, permintaan elektrik pusat data yang dikontrakkan berjumlah 2,346 megawatt (MW), manakala penggunaan sebenar hanya sekitar 1,374 MW, bersamaan 58.5 peratus daripada jumlah yang dikontrakkan.
Menurutnya, DCTF ditubuhkan bagi menilai secara terperinci permintaan dan penggunaan sebenar tenaga oleh industri berkenaan.
Mengulas cadangan penggunaan tenaga nuklear bagi menampung permintaan industri, Fadillah berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sumber tenaga itu, namun Malaysia perlu menyelesaikan terlebih dahulu perjanjian atau triti berkaitan di peringkat antarabangsa.
Katanya, penggunaan tenaga nuklear juga tertakluk kepada pematuhan piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk aspek kawal selia, keselamatan, keupayaan tenaga manusia dan kesesuaian teknologi.
“Kesiapsiagaan itu lebih penting kepada kita sebab kita nak pastikan keterjaminan bukan sahaja bekalan tenaga, tapi keselamatan rakyat kita perlu dijaga daripada segala aspek,” katanya.










