Kedudukan Shuhaily Sebagai KP AKPS Diteliti, Dirujuk Kepada AGC

KUALA LUMPUR: Kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain, yang dipinjamkan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kini dalam penelitian pihak berkuasa sebelum keputusan lanjut dibuat berhubung status perkhidmatannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, berkata perkara itu sedang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan turut dibawa kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk pertimbangan lanjut.

Beliau berkata, keputusan berhubung perkara itu kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

Menurutnya, PDRM tetap bertanggungjawab terhadap Shuhaily memandangkan pegawai itu masih berkhidmat di AKPS menerusi penugasan secara pinjaman daripada pasukan polis.

“Penugasan beliau di AKPS adalah untuk tempoh dua tahun (dan) ia seperti kontrak yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 di sini, hari ini, menurut laporan Bernama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan urusan perkhidmatan Shuhaily masih dalam proses pemuktamadan bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan mengikut peraturan serta tatacara yang berkuat kuasa.

Kementerian itu menegaskan, kelangsungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas AKPS akan terus menjadi keutamaan sepanjang proses berkenaan.

Menurut KDN, AKPS yang kini memasuki tahun kedua penubuhannya mempunyai tanggungjawab penting dalam memperkukuh sistem kawalan dan perlindungan sempadan negara.

Justeru, kementerian itu menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta pematuhan terhadap aspek integriti dan disiplin terus dipelihara.

“Kementerian akan terus memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin.

“Keutamaan KDN adalah untuk memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan mencederakan dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

BBerkaitan

Latest articles