Chegubard Dipenjara Empat Bulan Kerana Fitnah Terhadap Agong

KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas pertuduhan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali, berkata Hakim Norma Ismail memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Chegubard dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Menurut Rafique, mahkamah turut menetapkan jumlah jaminan baharu sebanyak RM5,000 terhadap anak guamnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.

Chegubard, 47, didakwa pada 29 April 2024 atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada 22 Januari tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan terdahulu, Chegubard pernah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah apabila Mahkamah Tinggi pada tahun ini memerintahkan beliau membela diri, sebelum prosiding diteruskan sehingga membawa kepada hukuman penjara yang dijatuhkan hari ini.

BBerkaitan

Latest articles