KUCHING: Polis tidak menemukan motif buli dalam kes seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan gurunya menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di sini pada 21 Oktober lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 26 Oktober lalu untuk tindakan lanjut.
Katanya, keputusan pendakwaan masih menunggu penelitian pihak pendakwaan serta laporan psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian.
Seramai 38 saksi, termasuk pelajar, guru, pengawal keselamatan dan ahli keluarga suspek, sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek untuk analisis forensik. Siasatan awal mendapati kapak berkenaan dibeli secara dalam talian.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, seorang guru wanita berusia 42 tahun mengalami kecederaan pada tangan kiri sebelum menerima rawatan di hospital swasta dan dibenarkan pulang.
Suspek ditahan pada hari kejadian dan masih menerima rawatan serta menjalani penilaian pakar psikiatri dan perubatan.
Polis turut menyiasat kemungkinan pengaruh permainan dalam talian atau kandungan tertentu, namun menegaskan sebarang kesimpulan hanya akan dibuat berdasarkan bukti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakis dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Saifullizan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, memandangkan kes itu membabitkan suspek bawah umur.










