PTPTN Akan Kaji Semula SOP Kutipan Hutang Susulan Aduan Peminjam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kutipan hutang susulan aduan berhubung tindakan ejen pemungut hutang yang didakwa mengganggu ahli keluarga peminjam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan menilai semula keberkesanan pendekatan kutipan hutang yang dilaksanakan ketika ini sebelum menentukan langkah seterusnya.

Menurutnya, kerajaan memahami terdapat aduan berkaitan tindakan ejen pemungut hutang yang didakwa tidak wajar, justeru meminta peminjam menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut.

“Yang pasti, kita kena buat semakan dan lihat semula sejauh mana keberkesanannya.

“Tetapi dalam masa sama, kita faham jika ada langkah-langkah yang tidak begitu baik dilakukan oleh pihak pemungut hutang ini, sila maklumkan kepada kita juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Zambry berkata, langkah kutipan hutang sebelum ini memberi tumpuan kepada peminjam yang culas membayar pinjaman selama lebih 10 tahun dan tidak pernah memberikan maklum balas kepada PTPTN.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan berkenaan turut menunjukkan hasil apabila terdapat peminjam yang tampil membuat bayaran selepas tindakan kutipan dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau menegaskan PTPTN tidak berniat menzalimi peminjam, sebaliknya sentiasa membuka ruang untuk mereka berbincang mengenai kesukaran kewangan yang dihadapi.

“Kita tahu kita bukan hendak menzalimi mereka. Saya mohon sekali lagi dalam Dewan ini supaya mereka datang berbincang dan beritahu tentang keadaan ekonomi mereka,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta kerajaan mempertimbangkan penangguhan sementara proses kutipan hutang sehingga SOP sedia ada dinilai semula dan ditambah baik.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan menghubungi isteri dan ibu bapa peminjam sehingga menimbulkan gangguan kepada ahli keluarga yang turut terkesan.

Wan Saiful turut menyambut baik beberapa langkah bantuan bayaran balik PTPTN yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027, termasuk penangguhan bayaran bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan bayaran balik minimum RM50 bagi peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, selain diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran secara teratur.

Kerajaan juga menyediakan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja.

BBerkaitan

Latest articles