KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu seiring dengan pembentukan akhlak dan nilai kemanusiaan bagi melahirkan generasi berilmu serta berbudi pekerti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, meskipun AI mampu menguasai pelbagai pengetahuan, teknologi itu tidak mempunyai nilai, akhlak dan kemanusiaan seperti yang perlu dibentuk dalam diri manusia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pelajar mengenai penggunaan tablet, komputer riba dan AI di sekolah pada masa depan, ketika beramah mesra dengan pelajar dari Pasir Gudang dan Pontian, Johor di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pendidikan yang menekankan pembentukan insan dan konsep akal budi, bukan sekadar kecerdasan intelektual.
Anwar turut menggalakkan pelajar membudayakan kasih sayang terhadap ibu bapa melalui amalan mudah seperti memeluk, mencium dan menghargai mereka dalam kehidupan seharian.










