MELAKA: Kemelut agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka menemui penyelesaian apabila rundingan khas kedua-dua pihak disahkan selesai dengan perkembangan positif.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan itu turut membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; serta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu menyerahkan kepada Ab Rauf untuk mengumumkan hasil rundingan berkenaan kerana beliau sudah diberikan mandat bagi tujuan itu.
“Saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Rauf yang sudah diberikan mandat membuat pengumuman, sila ajukan soalan susulan kepada beliau,” katanya selepas merasmikan Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Durian Tunggal, hari ini.
Sabtu lalu, Wee bersama beberapa pemimpin MCA bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka sebagai tanda bantahan terhadap keputusan agihan kerusi yang didakwa dibuat tanpa rundingan sewajarnya.
MCA sebelum ini mendakwa beberapa kerusi yang pernah ditandingi parti itu diserahkan kepada parti lain, meskipun kedudukannya sebagai komponen BN sudah bertahan sekian lama.
Dalam pengumuman calon BN, sebanyak 21 kerusi diperuntukkan kepada gabungan itu, termasuk kepada Naib Presiden MCA, Lim Ban Hong, dan Exco Melaka, Ngwe Hee Sem, yang masing-masing akan mempertahankan kerusi Kelebang dan Machap Jaya.
Baki tujuh kerusi pula diperuntukkan kepada PAS serta rakan strategiknya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid menegaskan isu penolakan calon BN di kerusi Durian Tunggal dan Pantai Kundor akan ditangani menerusi rundingan dalaman tanpa menjejaskan calon yang sudah diumumkan.
Beliau berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa BN akan menukar calon di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Saya tidak nampak ke arah itu (pertukaran calon)… kita akan lakukan langkah penyelesaian secara dalaman,” katanya.
Menurut beliau, perselisihan berkaitan pemilihan calon bukan perkara luar biasa dalam pilihan raya dan turut boleh berlaku dalam kalangan parti gabungan lain.
Bagaimanapun, Zahid yakin setiap permasalahan berkenaan boleh ditangani melalui pendekatan yang sesuai bagi memastikan persiapan BN menghadapi PRN Melaka tidak terjejas.










