Nik Nazmi Beri Keterangan Lebih Tiga Jam Berhubung Siasatan Kes Khalwat

SHAH ALAM: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, memberikan keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selama lebih tiga jam bagi membantu siasatan kes khalwat yang dikaitkan dengannya.

Beliau tiba di pejabat Jais di Bangunan Sultan Idris Shah, kira-kira jam 9.15 pagi tadi sebelum meninggalkan premis itu pada 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Nik Nazmi kembali semula pada jam 12 tengah hari untuk menyambung proses rakaman keterangan sebelum meninggalkan bangunan berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Peguam Syarienya, Muhammad Amirul Ashraf A Ghani, berkata kehadiran anak guamnya itu adalah bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 29E Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Katanya, proses siasatan masih berjalan dan pihaknya kini menunggu keputusan Jabatan Pendakwa Syariah Selangor berhubung tindakan lanjut, termasuk sama ada Nik Nazmi akan didakwa atau sebaliknya.

“Lebih tiga jam beliau hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Ketika ini adalah peringkat siasatan dan keterangan sudah diberikan, kemudian nanti kita tunggu maklum balas daripada Jabatan Pendakwa Syariah Selangor sama ada beliau akan dipertuduhkan atau tidak,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Nik Nazmi bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media apabila meninggalkan pejabat Jais, sebaliknya beredar menerusi laluan belakang lobi bangunan sebelum menaiki sebuah kenderaan.

Terdahulu, beliau mengesahkan ditahan Jais bagi membantu siasatan kes membabitkan dua individu bukan mahram yang didakwa berdua-duaan di tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.

Susulan perkembangan itu, Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama (Bersama) selama tiga bulan, berkuat kuasa sehingga 19 Januari 2027.

BBerkaitan

Latest articles