Kerajaan Daftar Pelarian Melalui Program DPP

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan pendataan komuniti pelarian di seluruh negara menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan pengurusan dan pemantauan golongan berkenaan diselaraskan dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (semakan 2023) itu kini berada pada fasa pertama.

Menurutnya, fasa berkenaan memberi tumpuan kepada individu yang ditempatkan di depot tahanan imigresen (DTI), sebelum diperluas kepada pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar depot dalam masa terdekat.

“Tujuan pendataan oleh kerajaan ini adalah bagi memastikan kerajaan mampu mengurus, menyelaras dan memantau keberadaan golongan ini secara sementara di dalam negara sebelum dihantar ke negara ketiga atau pulang ke negara asal,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap organisasi luar seperti UNHCR yang didakwa tidak memberikan kerjasama sewajarnya, termasuk dalam perkongsian data berkaitan pelarian, sedangkan Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

Ahmad Zahid berkata, organisasi antarabangsa memainkan peranan penting sebagai platform kerjasama dan perkongsian kepakaran bagi menangani isu rentas sempadan yang tidak dapat diselesaikan oleh sesebuah negara secara bersendirian.

Katanya, kerjasama itu turut membantu memperkukuh kapasiti negara serta mengurangkan beban pengurusan isu kemanusiaan.

Beliau berkata, pengalaman Malaysia menguruskan pelarian Vietnam di Pulau Bidong dari akhir 1970-an hingga 1990-an menunjukkan kepentingan kerjasama dengan UNHCR dan masyarakat antarabangsa.

“Ketika itu, Malaysia bekerjasama dengan UNHCR dan masyarakat antarabangsa bagi menguruskan kemasukan pelarian, menyediakan perlindungan sementara serta mendapatkan penempatan semula di negara ketiga,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga masih memerlukan kerjasama UNHCR bagi urusan penempatan pelarian di negara ketiga.

Ini kerana negara penerima pelarian menggunakan kad UNHCR sebagai mekanisme pengesahan dan ketulenan status pelarian.

Justeru, pelaksanaan program DPP dijangka membantu kerajaan mendapatkan maklumat berkaitan komuniti pelarian bagi memperkemas pengurusan mereka sepanjang berada di Malaysia, sebelum proses penghantaran ke negara ketiga atau kepulangan ke negara asal dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles