KOTA TINGGI: Seorang peneroka maut selepas diserang menggunakan senjata tajam dalam kejadian amukan di FELDA Lok Heng Selatan, kira-kira jam 7.30 malam semalam.
Menurut sumber, kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran kediaman suspek yang dilaporkan mengamuk sambil memegang senjata dipercayai sebilah kapak.
Penduduk setempat dikatakan tidak berani menghampiri lokasi kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Selepas menyerang mangsa, suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi, namun memaklumkan kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan berikutan siasatan lanjut masih dijalankan.










