Trump Sifatkan Obama Presiden Teruk, Clinton Dibayangi Skandal

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membalas kritikan bekas presiden negara itu, Barack Obama dan Bill Clinton terhadap pentadbirannya dengan menyifatkan mereka mengkritiknya kerana tewas kepadanya dalam pilihan raya.

Trump berkata, Parti Republikan lebih lemah ketika beliau mula menceburi politik, namun kemenangan dalam pilihan raya 2016 dan 2024 mengukuhkan kedudukan parti itu.

Beliau turut mengulangi dakwaan bahawa pilihan raya 2020 dicemari penipuan, sambil mendakwa kemenangan terbaharunya lebih besar berbanding pilihan raya terdahulu.

“Obama ialah presiden yang teruk. Clinton pula tidaklah begitu teruk, tetapi beliau terpalit dengan banyak skandal. Tanpa skandal itu, beliau mungkin menjadi presiden yang baik,” katanya ketika menjawab pertanyaan media.

Mengenai kemungkinan Rusia melabur dalam industri gas asli di Alaska, Trump berkata beliau berharap perang Rusia-Ukraine dapat ditamatkan menerusi perjanjian supaya AS boleh menjalankan urusan perniagaan dengan kedua-dua negara.

Beliau turut mendakwa Ukraine mempunyai sumber mineral bernilai sehingga AS$1 trilion yang boleh menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan Washington, susulan bantuan ketenteraan yang diberikan pentadbiran bekas Presiden Joe Biden kepada Kyiv.

Mengulas laporan perisikan baharu mengenai peningkatan usaha Iran menyasarkan anggota AS di Asia Barat, Trump menyifatkan kepimpinan negara itu sebagai buruk dan mendakwa Iran bertanggungjawab terhadap kematian ribuan penunjuk perasaan serta rakyat Amerika selama beberapa dekad.

Trump turut menyifatkan Iran sebagai negara penaja keganasan utama dunia, sambil berkata beliau mungkin perlu mengambil tindakan lanjut terhadap negara itu sekiranya tiada perjanjian dicapai.

Dalam isu berasingan, Trump mengecam tindakan seorang lelaki yang dilaporkan berada di AS secara tidak sah dan ditahan kerana didakwa merosakkan tugu peringatan perang di Virginia.

Beliau mendakwa lelaki itu memasuki negara berkenaan melalui sempadan yang dibuka ketika pentadbiran Biden, sebelum ditahan pihak berkuasa.

Ketika ditanya mengenai rutin hariannya, Trump berkata beliau tidak bermain golf pada hari berkenaan, sebaliknya hanya memukul bola selama kira-kira sejam di sebuah padang golf.

Beliau juga berkata jadual kempen pilihan rayanya sebelum ini sangat padat, termasuk menyampaikan ucapan dalam beberapa perhimpunan sehari pada minggu terakhir kempen.

Trump berkata beliau tidak terlepas sehari sepanjang empat bulan terakhir kempen tersebut, malah mampu menghadiri empat hingga lima perhimpunan dalam sehari pada minggu terakhir.

BBerkaitan

Latest articles