KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penggunaan pendapatan boleh guna bersih (NDI) isi rumah sebagai asas pemberian bantuan bagi memastikan sokongan disalurkan berdasarkan kedudukan kewangan sebenar rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana (M40).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata pendekatan itu mengambil kira perbelanjaan asas mengikut demografi dan lokasi, berbanding penilaian berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
“Kerajaan menyedari bahawa dasar tidak boleh bergantung kepada angka pendapatan kasar semata-mata. Sebagai jalan ke hadapan, kerajaan sedang meneliti penggunaan NDI dalam pemberian bantuan.
“NDI adalah lebih adil kerana mengambil kira perbelanjaan asas mengikut demografi dan lokaliti,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai kedudukan golongan kelas pertengahan yang berdepan peningkatan komitmen perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keluarga, tetapi tidak semestinya layak menerima bantuan.
Mohd Shahar berkata Kementerian Ekonomi sedang berbincang dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan projek rintis untuk menilai kesan penggunaan NDI terhadap kedudukan fiskal negara sebelum kaedah pengukuran baharu dimuktamadkan.
Menurut Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kumpulan M40 mencatatkan pendapatan kasar bulanan antara RM5,860 hingga RM12,679, dengan purata RM8,744.
Bagaimanapun, beliau berkata hampir 70 peratus pendapatan kumpulan itu digunakan untuk perbelanjaan asas, termasuk makanan (34.1 peratus), perumahan dan utiliti (22.7 peratus) serta pengangkutan (10.6 peratus).
“Setelah ditolak komitmen pendidikan dan perubatan, baki pendapatan pada hujung bulan amat tipis. Inilah fenomena ‘middle-class squeeze’ yang diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahar berkata Belanjawan 2027 turut memperkenalkan langkah bagi mengurangkan beban golongan kelas pertengahan, termasuk menaikkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta mengurangkan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000.
Beliau berkata pelepasan cukai bagi penjagaan ibu bapa turut diperluas, manakala Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 untuk 5.3 juta murid tanpa mengira pendapatan isi rumah.
Selain itu, katanya, diskaun 10 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberikan kepada peminjam yang membuat bayaran secara teratur.
Dalam aspek perumahan, kerajaan menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) MADANI sehingga RM360,000 dan SJKP Inklusif sehingga RM500,000 bagi membantu pembeli rumah pertama.
Mohd Shahar turut memaklumkan bahawa produk insurans dan takaful perubatan mampu milik MediAsas dijadual dilancarkan mulai Januari 2027, manakala Dasar Gaji Progresif diteruskan.
Beliau berkata penanda aras gaji sara hidup di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan mulai 2027, yang dijangka memanfaatkan 230,000 pekerja.
Dalam masa sama, katanya, sebahagian bantuan keperluan asas kerajaan mula beralih kepada pendekatan sejagat, termasuk Bantuan Awal Persekolahan dan BUDI95 yang turut memberi manfaat kepada golongan kelas pertengahan.










