KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan peranan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memulakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, projek berkenaan dimulakan menerusi majlis pecah tanah pada 9 Ogos 2017 yang dihadiri Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, ECRL bakal menjadi kemudahan pengangkutan penting kepada rakyat, selain berpotensi merancakkan pembangunan ekonomi dan perdagangan di sepanjang laluannya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan yang berpandangan jauh, telah menghasilkan prasarana rakyat dan negara yang amat bermakna ini.
“Jangan kita lupa siapa yang memulakannya dan tokoh yang sama telah memulakan banyak perkara bermanfaat kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Ahmad berkata, ECRL bukan sahaja menyediakan kemudahan pengangkutan penumpang, malah membolehkan pengangkutan kargo dari pelabuhan ke pelabuhan serta antara bandar.
Beliau turut berkongsi pandangan beberapa Ahli Parlimen dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menyifatkan perkhidmatan itu berpotensi memudahkan perjalanan berulang-alik antara kawasan masing-masing dengan Parlimen.
Menurutnya, pembangunan di sepanjang laluan ECRL juga dijangka membuka peluang ekonomi melalui peningkatan nilai hartanah, pembangunan perumahan dan bandar serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil.
Ahmad berkata, sektor pelancongan di negeri-negeri Pantai Timur turut berpotensi mendapat manfaat menerusi kemudahan perjalanan yang lebih teratur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan jalan raya yang terdedah kepada kesesakan.
Beliau berkata, kewujudan 20 stesen ECRL, termasuk di Selangor, juga berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Ahmad menyeru rakyat menghargai sumbangan pemimpin dan parti yang memainkan peranan dalam pembangunan prasarana negara.
“Jadilah anak bangsa yang menghargai dan tidak melupakan jasa pimpinan dan parti yang sudah banyak menabur jasa,” katanya.










