KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan penyerahan bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi di Melaka ketika pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di Stadium Hang Jebat pada 24 Oktober lalu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, bantuan berkenaan tidak menjadi pertikaian, namun mempersoalkan kewajaran urusan bantuan kerajaan dibawa ke pentas politik kepartian.
Menurutnya, peruntukan RM53 juta bagi kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah itu merupakan wang kerajaan, bukannya dana DAP, PH atau wang peribadi Anthony.
Beliau mendakwa, bantuan itu dikaitkan dengan kutipan RM91.2 juta hasil bidaan nombor pendaftaran khas siri H dan sudah diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
“Jadi, apa perlunya bawa cerita bantuan ini ke pentas PH sekali lagi? Nak maklumkan jadual atau nak bagi orang ingat duit itu datang daripada parti?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Fadhli turut membangkitkan program Kampung Angkat MADANI Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Chennah, Negeri Sembilan pada 12 Julai lalu yang melibatkan peruntukan RM500,000, selain pengumuman RM100,000 bagi Kampung Bukit Temiang pada 16 Julai.
Beliau berkata, Anthony sebelum ini menjelaskan program berkenaan telah dirancang lebih awal, namun berpendapat pengalaman itu sepatutnya menjadi peringatan supaya urusan kerajaan dan parti dipisahkan dengan jelas.
Mengulas perkembangan di Melaka, Ahmad Fadhli mendakwa Anthony pada 17 Oktober lalu memaklumkan baki penerima bantuan akan menerima bayaran menerusi pindahan terus ke akaun bank, selain majlis penyerahan fizikal yang telah diadakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan Seremban.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada majlis penyerahan bantuan di Melaka pada 26 Oktober merupakan sebahagian daripada jadual asal, siapa yang meluluskannya dan mengapa pengumuman dibuat ketika pelancaran jentera PH.
“Kalau semuanya ikut prosedur, tunjuk sajalah jadual asal, surat kelulusan dan rekod perbelanjaan. Selesai cerita,” katanya.
Ahmad Fadhli menegaskan, beliau tidak mempertikaikan usaha membantu rakyat, sebaliknya mahu memastikan pelaksanaan program kerajaan tidak menimbulkan tanggapan bahawa bantuan awam digunakan untuk kepentingan politik sesebuah parti.
“Duit rakyat tetap duit rakyat. Bukan tabung kempen DAP,” katanya.










