KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap PN.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pejabat Agung Pas di sini malam tadi.
Beliau berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon yang bakal mewakili gabungan itu masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dalam beberapa mesyuarat akan datang.
“Perikatan Nasional is back to normal business. Kita mengumumkan akan menggunakan logo Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri Melaka, insya-Allah.
“Berapa kerusi dan berapa calon, kita akan tentukan kerana akan mengadakan beberapa siri mesyuarat lagi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Takiyuddin berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Okt lepas membenarkan penangguhan pelaksanaan tiga tindakan ROS terhadap PN, iaitu notis tunjuk sebab, penggantungan aktiviti dan pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Beliau berkata keputusan mahkamah berkenaan membolehkan PN meneruskan aktiviti seperti biasa, termasuk membuat persiapan menghadapi PRN Melaka.
Dalam perkembangan sama, Takiyuddin memaklumkan bahawa Ketua Pengarah ROS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 23 Okt lepas.
Menurutnya, pengurusan kes rayuan berkenaan ditetapkan pada 30 Okt ini, sehari sebelum penamaan calon PRN Melaka.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PN turut memutuskan untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Takiyuddin berkata tindakan itu dibuat berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap parti anggota yang melakukan perkara bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.
Beliau berkata tindakan yang boleh dikenakan termasuk amaran, penggantungan atau pemecatan keanggotaan parti daripada PN.
“Pertuduhan yang dirangka akan diserahkan kepada BERSATU dan mereka akan diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab,” katanya.
Beliau berkata antara perkara yang akan diteliti ialah tindakan BERSATU yang didakwa bertentangan dengan kepentingan PN, termasuk keputusan parti itu untuk bertanding menggunakan logonya sendiri pada PRN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata bentuk tindakan tatatertib terhadap BERSATU belum diputuskan kerana ia bergantung pada tahap keseriusan pertuduhan yang dikemukakan.










