IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan seorang pengetua sekolah menengah kerajaan di Teluk Intan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar perempuan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah diarahkan menyiasat kes berkenaan, manakala pengetua terbabit ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan selesai.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi ruangan komen pada hantaran tular berkaitan insiden berkenaan di platform Threads, hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial menggesa ibu bapa dan masyarakat di Teluk Intan supaya berwaspada susulan dakwaan salah laku seksual membabitkan pengetua sebuah sekolah menengah kerajaan.
Dakwaan itu turut melibatkan penghantaran mesej berunsur romantik kepada seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, selain dakwaan mengenai hubungan sulit.
Hantaran berkenaan turut menuntut supaya perkara itu dipandang serius dan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
Satu video yang turut tular memaparkan seorang lelaki dipercayai pengetua berkenaan berhadapan dengan beberapa wanita yang dipercayai mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.










