GEORGE TOWN: Peningkatan pendapatan isi rumah tidak semestinya menjamin kehidupan lebih selesa apabila golongan B40, khususnya wanita, terus berdepan tekanan kos sara hidup dan perumahan.
Exco Pergerakan Wanita Parti Wawasan Negara, Nor Azah Abdul Aziz berkata, keadaan itu perlu diberikan perhatian serius, terutama di Pulau Pinang yang pesat membangun.
Beliau berkata, laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan baki pendapatan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah selepas perbelanjaan penggunaan merosot daripada 10.8 peratus pada 2019 kepada hanya 1.8 peratus pada 2024.
Menurutnya, pada masa sama, perbelanjaan median isi rumah meningkat kepada RM4,758 sebulan pada 2024, sekali gus menggambarkan tekanan kewangan yang dihadapi rakyat.
“Bagi golongan B40, kos sewa rumah, makanan, pengangkutan, pendidikan anak-anak dan keperluan harian perlu ditanggung menggunakan pendapatan yang terhad.
“Apabila harga rumah semakin sukar dicapai dan kos sewa terus meningkat, memiliki kediaman sendiri menjadi impian yang semakin jauh bagi sebahagian keluarga berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Nor Azah berkata, wanita daripada golongan B40 turut berdepan cabaran tersendiri, terutama mereka yang menjadi penyumbang utama pendapatan keluarga, ibu tunggal dan pekerja dalam sektor bergaji rendah.
Katanya, tanggungjawab mengimbangi pekerjaan, urusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak menambahkan tekanan, lebih-lebih lagi apabila kos penjagaan anak yang tinggi mengehadkan peluang wanita untuk bekerja atau kembali ke alam pekerjaan.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyukarkan golongan berkenaan membina simpanan, meningkatkan kemahiran dan memperbaiki taraf hidup keluarga.
Sehubungan itu, Nor Azah mencadangkan lima langkah utama bagi membantu golongan B40, khususnya wanita di Pulau Pinang.
Antaranya ialah memperluas akses kepada perumahan mampu milik, memperkukuh bantuan bersasar bagi menangani kos sara hidup serta memperbanyak peluang pekerjaan dan program pemerkasaan ekonomi wanita.
Selain itu, beliau menggesa penyediaan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti pada kadar mampu milik serta pelaksanaan pembangunan negeri yang lebih inklusif.
“Pembangunan Pulau Pinang perlu mengambil kira kemampuan penduduk tempatan, khususnya golongan B40 dan wanita berpendapatan rendah, untuk terus tinggal, bekerja dan membina keluarga di negeri sendiri.
“Isu pendapatan, kos sara hidup, perumahan mampu milik dan pemerkasaan ekonomi wanita perlu ditangani secara bersama melalui dasar yang praktikal, bersasar dan berkesan,” katanya.










