KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjalankan siasatan segera berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 1 Oktober lalu.
Arahan itu dibuat selepas beberapa kecederaan luar biasa ditemukan pada tubuh mangsa, sekali gus memerlukan penelitian lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.
Khalid berkata pihaknya masih menunggu laporan makmal berhubung punca kematian, manakala Pengarah JSJ, Datuk M Kumar diminta memastikan siasatan dijalankan secepat mungkin.
Beliau turut mengarahkan JSJ mengeluarkan kenyataan serta memaklumkan perkembangan siasatan kepada orang ramai.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Aida Abdul Hamid dilaporkan berkata, bedah siasat mendapati tiada kecederaan pada organ dalaman mangsa, namun terdapat kecederaan luaran pada tubuhnya.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh selepas berhubung dengan Khalid.
Arahan itu menyusul tindakan waris Noorizwan yang hadir ke kediaman peribadi Perdana Menteri untuk menyerahkan surat rayuan bagi memohon campur tangan beliau dalam kes berkenaan.










