PH Elak Serangan Peribadi, Fokus Rekod Kerajaan

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) memilih pendekatan berkempen tanpa serangan peribadi terhadap lawan, sebaliknya mempertaruhkan rekod pencapaian kerajaan MADANI untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata antara pencapaian yang perlu diketengahkan ialah kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi serta kejayaan memulihkan imej dan martabat Malaysia di peringkat antarabangsa sepanjang hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata, meskipun gabungan itu berdepan kekalahan di beberapa negeri, semangat perjuangan dan perpaduan antara parti komponen perlu terus dipertahankan.

“Walaupun kita kecundang di Negeri Sembilan, kita akan bangkit kembali di Melaka. Dalam PH, susah senang kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Loke berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat, termasuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi, menyalurkan bantuan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta menyediakan sokongan pendidikan dan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

Menurutnya, rasionalisasi subsidi juga membolehkan bantuan disasarkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sekali gus menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk disalurkan semula bagi kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan membendung ketirisan bagi memastikan hasil negara dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, hasil jualan nombor pendaftaran H berjumlah RM91 juta membolehkan bantuan RM1,000 disalurkan kepada setiap pemandu teksi yang layak.

Loke berkata, kerajaan menganggap amanah mentadbir negara sebagai tanggungjawab untuk memastikan kekayaan dan hasil negara dikembalikan kepada rakyat melalui dasar serta bantuan yang bersesuaian.

Justeru, beliau menyeru pengundi Melaka terus memberikan kepercayaan kepada PH bagi membolehkan gabungan itu meneruskan agenda pembangunan dan memastikan manfaat pentadbiran kerajaan dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles