KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada Ahad, susulan pemfailan notis rayuan berhubung keputusan penggantungan pelaksanaan pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya berpandangan semua pihak perlu mengekalkan status quo keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga keseluruhan prosiding mahkamah selesai.
Menurutnya, BERSATU menerima surat jemputan bertarikh 23 Oktober daripada Takiyuddin berhubung mesyuarat tergempar yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober.
Beliau berkata, ROS sebelum ini memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN menerusi perintah pembatalan bertarikh 20 Oktober lalu.
Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah pembatalan berkenaan.
“Mahkamah juga mengambil maklum bahawa pembatalan pendaftaran PN telah pun berkuat kuasa dan perintah penggantungan tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran yang telah dibatalkan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Azmin berkata, satu notis rayuan turut difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Oktober bagi pihak ROS dan Menteri Dalam Negeri terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN ketika rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan telah difailkan.
Menurutnya, BERSATU berpandangan semua pihak perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan yang serius sekiranya mesyuarat itu diteruskan.
Beliau turut merujuk Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 yang menyentuh status pertubuhan yang dibatalkan pendaftarannya, serta Seksyen 42 akta sama berkaitan kesalahan mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
“Sekiranya PAS dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam situasi yang dijelaskan, BERSATU khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.
Azmin berkata, BERSATU akan membawa perkara itu untuk dibincangkan bersama pasukan peguam bagi memastikan pematuhan terhadap Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan isu pertikaian terdahulu berhubung hak BERSATU menghadiri, menyuarakan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Katanya, antara alasan yang dibangkitkan kepimpinan PN sebelum ini ialah isu korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang didakwa boleh menjejaskan keabsahan mesyuarat gabungan berkenaan.
Selain itu, keanggotaan BERSATU dalam PN turut dipertikaikan, meskipun ROS dalam surat bertarikh 12 Ogos 2026 menegaskan kedudukan BERSATU sebagai parti anggota yang sah dalam gabungan itu.
Justeru, Azmin berkata, pendirian PAS dan sekutunya mengenai isu korum MPT serta keanggotaan BERSATU perlu diperjelaskan sebelum mesyuarat tergempar berkenaan diteruskan.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai prasyarat penting yang perlu diberi perhatian kerana kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan persoalan mengenai kesahan notis mesyuarat.
“BERSATU sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya serta akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian,” katanya.










