Pengimbas Bagasi KLIA Tidak Dapat Kesan Dadah

KUALA LUMPUR: Sistem pengimbas bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang seluruh negara tidak dilengkapi teknologi untuk mengesan bahan kontraban seperti dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem pengimbas sedia ada lebih berfokus kepada keselamatan penerbangan bagi mengesan bahan letupan, senjata dan objek logam berbahaya.

Menurutnya, pengesanan bahan terlarang bergantung kepada kepakaran, kepekaan visual serta profil risiko yang dianalisis pegawai saringan bertugas.

“Walau bagaimanapun, proses saringan keselamatan di lapangan terbang negara turut disokong oleh maklumat risikan agensi keselamatan dalam usaha menyekat aktiviti penyeludupan di pintu masuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai kelemahan sistem saringan keselamatan susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Jakarta pada Julai 2026 kerana membawa dadah yang dipercayai melalui KLIA.

Rodiyah turut meminta penjelasan mengenai tindakan segera bagi mengelakkan penyalahgunaan laluan khas petugas penerbangan oleh sindiket.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan telah bersetuju melaksanakan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan Pintu Masuk Negara yang merangkumi 17 syor substantif.

Katanya, pelan tindakan itu dipersetujui menerusi Memorandum Jemaah Menteri bersama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang diluluskan pada 19 Ogos 2026.

Pelaksanaannya memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

Beliau berkata, pelan berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi langkah jangka pendek antara sifar hingga enam bulan, jangka sederhana antara enam hingga 24 bulan serta jangka panjang melebihi 24 bulan.

Bagi menangani risiko penyalahgunaan laluan khas oleh petugas penerbangan dan kakitangan lapangan terbang, kerajaan turut memperketatkan saringan keselamatan bagi permohonan serta pembaharuan pas keselamatan menerusi pemerkasaan sistem e-Vetting.

“Langkah ini bagi memastikan individu berisiko tidak dibekalkan akses ke zon terhad.

“Selain itu, kerajaan turut menguatkuasakan pelaksanaan pusingan kerja (job rotation) secara berkala terhadap semua petugas yang berkhidmat di Kawasan Keselamatan Terhad bagi memutuskan ruang persekongkolan serta meminimumkan risiko manipulasi kawalan di laluan khas berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan komited memodenkan aset dan infrastruktur keselamatan secara menyeluruh di semua pintu masuk antarabangsa negara menerusi perancangan jangka panjang.

Usaha itu merangkumi penaiktarafan secara berfasa sistem pengimbas bagasi dan pengimbas badan (body scanner) kepada teknologi generasi baharu yang lebih canggih.

Katanya, teknologi berkenaan akan dilengkapi integrasi analitik kecerdasan buatan (AI) serta keupayaan mengesan anomali bahan terlarang bagi memperkukuh keberkesanan saringan keselamatan selaras dengan piawaian antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles