Ustaz Wadi Annuar Cedera Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Gerik

IPOH: Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, mengalami kecederaan pada bahagian rusuk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Gerik.

Sukarelawan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Mohd Amir Faizal Mohd Zaki, berkata beliau sempat menemui Wadi Annuar di hospital selepas bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Menurutnya, Wadi Annuar berada di tempat duduk belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ketika kemalangan berlaku.

“Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Terengganu untuk menghadiri program,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman, mengesahkan penglibatan pendakwah itu dalam kemalangan berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 2.40 pagi yang membabitkan Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Toyota Vellfire.

Menurutnya, Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang, menyebabkan pemandunya berusia 24 tahun parah, manakala penumpang lelaki berusia 25 tahun tersepit di bahagian hadapan dan seorang lagi penumpang berusia 24 tahun cedera ringan.

Dua daripada empat individu yang menaiki Toyota Vellfire turut cedera, manakala tiga individu dalam Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sabarodzi berkata, pemandu Myvi dan dua mangsa cedera dari Toyota Vellfire dibawa ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Operasi menyelamat membabitkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gerik itu ditamatkan pada jam 4.39 pagi.

BBerkaitan

Latest articles