KUALA LUMPUR: Pendekatan membenarkan filem kategori 18 (PG18) ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu bukan bermakna kawalan kandungan dilonggarkan, sebaliknya beralih kepada sistem klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu tertakluk kepada garis panduan penapisan filem yang berkuat kuasa bagi memastikan kandungan ditayangkan sesuai dengan kategori umur ditetapkan.
“Pendekatan membenarkan filem kategori 18 ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu bukan bermakna kawalan kandungan dilonggarkan.
“Sebaliknya, pendekatan ini merupakan anjakan kaedah kawalan daripada pemotongan babak kepada klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton, tertakluk pada garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta pendirian kementerian berhubung kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tidak lagi memotong babak dalam filem PG18 atas alasan keterbukaan.
Fahmi menjelaskan, FINAS bertanggungjawab membangunkan industri perfileman negara, manakala urusan penapisan filem terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, proses penapisan itu dilaksanakan berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024.
Jelas beliau, di bawah pendekatan berkenaan, filem yang memenuhi syarat boleh ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu, namun tertakluk kepada klasifikasi umur yang ketat.
Katanya, garis panduan itu mempunyai tiga tujuan utama, iaitu membolehkan orang dewasa membuat pilihan bijak terhadap filem yang ingin ditonton, melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan tidak sesuai serta meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk membimbing anak-anak memilih kandungan bersesuaian.
“Perlu ditegaskan bahawa filem kategori 18 hanya boleh ditonton oleh individu berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan bahawa klasifikasi umur bukan lesen untuk membenarkan sebarang kandungan ditayangkan tanpa batasan.
Sebaliknya, LPF tetap menilai setiap filem berdasarkan empat aspek utama, iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.
Menurutnya, kandungan yang melanggar garis panduan penapisan, termasuk yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, tetap tertakluk kepada tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, kerajaan menyokong perkembangan industri perfileman tempatan yang kreatif, berkualiti dan berdaya saing, namun kepentingan penonton, nilai masyarakat serta pematuhan undang-undang perlu terus dipelihara.
“FINAS dan LPF, KDN akan terus bekerjasama dengan pemain industri, manakala sistem klasifikasi filem akan diteliti dari semasa ke semasa agar kekal relevan dengan perkembangan industri dan landskap kandungan semasa,” katanya.










