KUALA LUMPUR: Sebarang pengampunan terhadap individu yang disabitkan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak secara automatik menggugat usaha kerajaan mendapatkan semula aset yang diselewengkan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tindakan sivil bagi mendapatkan semula aset mempunyai asas perundangan dan keperluan pembuktian yang berbeza daripada prosiding jenayah, justeru kedua-duanya perlu dilihat secara berasingan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan sivil bergantung pada asas tuntutan, bukti yang tersedia serta perintah mahkamah berkaitan.
“Begitu juga, apa-apa tindakan pelucuthakan aset tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang mengawal tindakan tersebut.
“Kerajaan kekal komited untuk meneruskan tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) yang meminta penjelasan mengenai jaminan kerajaan bahawa usaha mendapatkan semula aset 1MDB tidak akan terjejas susulan perkembangan berkaitan hukuman terhadap mana-mana banduan.
Perkara itu mendapat perhatian susulan perkembangan berkaitan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sebelum ini diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Pada Februari 2024, tempoh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International Sdn Bhd dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib, 73, dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes berkenaan.
Pada September, beliau turut diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
Dalam perkembangan berasingan, Najib pada Disember 2025 disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1MDB.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion dan sedang merayu terhadap sabitan itu.
Sementara itu, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu mendapatkan semula aset bernilai AS$2 bilion (RM8.16 bilion) lagi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB menjelang akhir tahun depan.
Menurut beliau, aset berkenaan merupakan sebahagian daripada baki dana yang diselewengkan dan masih dalam usaha pemulihan.
Setakat 2025, Malaysia dilaporkan telah memperoleh semula RM31.3 bilion, bersamaan 74.53 peratus daripada kira-kira RM42 bilion dana yang diselewengkan daripada 1MDB.










