MCA Persoal Kerajaan Dedah Kos, Proses Pemilihan Pembangun Aplikasi TuJu

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjelaskan secara terperinci proses pemilihan Prosignal Consortium Sdn Bhd untuk membangunkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, termasuk sama ada projek itu diberikan menerusi tender terbuka atau kaedah perolehan lain.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata penjelasan itu penting bagi memastikan proses pelantikan syarikat berkenaan telus, terutama selepas kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze atas alasan keselamatan data.

Beliau mempersoalkan kriteria pemilihan, kelayakan teknikal serta kaedah penilaian yang digunakan bagi menentukan kemampuan syarikat itu membangunkan aplikasi berkenaan.

Selain itu, kerajaan diminta mendedahkan jumlah dana awam yang diperuntukkan untuk pembangunan TuJu supaya orang ramai dapat menilai kewajaran perbelanjaan berkenaan.

“Persoalan ini wajar mendapat jawapan jelas dan substantif, khasnya apabila membabitkan penggunaan sumber awam serta agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Neow berkata, MCA memahami kebimbangan kerajaan terhadap keselamatan penggunaan Waze, namun tindakan pentadbiran yang dilihat begitu agresif mempromosikan TuJu menimbulkan persoalan mengenai keutamaan kerajaan, ketelusan dan asas sokongan terhadap aplikasi berkenaan.

Menurutnya, maklum balas pengguna media sosial turut menimbulkan persoalan mengenai ketepatan sistem navigasi dan pengalaman penggunaan TuJu, dengan sesetengah pengguna mendakwa aplikasi itu mengelirukan serta tidak memberikan panduan yang tepat.

Beliau turut membangkitkan kekurangan beberapa ciri yang lazimnya terdapat pada aplikasi navigasi sedia ada, termasuk amaran had laju serta sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay.

Katanya, kekurangan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada TuJu benar-benar bersedia untuk digunakan secara meluas sebagai alternatif praktikal kepada Waze.

“Adakah aplikasi itu menjalani ujian menyeluruh dan penilaian teknikal bebas sebelum kerajaan memberi sokongan kepadanya?

“Adakah ketepatan, kebolehpercayaan, ciri keselamatan dan keserasiannya dengan kenderaan moden dinilai sewajarnya?” soalnya.

Neow menegaskan keyakinan orang ramai terhadap aplikasi yang disokong kerajaan perlu dibina berdasarkan prestasi, kualiti dan kebolehpercayaan yang terbukti, bukannya bergantung kepada promosi semata-mata.

Semalam, kerajaan dilaporkan melarang penjawat awam menggunakan Waze, aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan data peribadi dan maklumat pergerakan pengguna yang dikumpulkan aplikasi berkenaan, memandangkan ia tertakluk kepada undang-undang Israel.

Susulan itu, Anwar menggalakkan rakyat mempertimbangkan penggunaan TuJu, aplikasi navigasi tempatan yang dibangunkan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

BBerkaitan

Latest articles