KUALA LUMPUR: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dilihat membuka peluang lebih luas kepada PAS untuk memperkukuh kerjasama dengan Umno, khususnya dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata perkembangan itu lebih memberi kelebihan kepada partinya, manakala Bersatu dijangka menjadi pihak paling terkesan kerana kekuatan PN selama ini banyak bergantung kepada sokongan PAS.
Menurutnya, kerjasama PAS dan Umno berpotensi memberikan kelebihan besar dalam PRU16, sekali gus memudahkan kedua-dua parti meraih kemenangan.
“PAS boleh memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan Umno yang sememangnya dinantikan oleh rakyat,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau turut berpandangan gabungan kedua-dua parti itu mampu meningkatkan peluang kemenangan tanpa perlu berdepan kempen yang terlalu sukar.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN pada Selasa selepas penjelasan dikemukakan gabungan itu didapati gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat susulan aduan Bersatu yang mendakwa parti berkenaan dinafikan hak untuk menghadiri, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Susulan pembatalan tersebut, PN tidak lagi boleh menggunakan logonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang. Bagaimanapun, parti-parti komponennya masih boleh bertanding menggunakan lambang masing-masing.
Bersatu sebelum ini menyifatkan pembatalan itu sebagai gambaran kegagalan PAS menguruskan PN secara demokratik dan telus.
Sebaliknya, PAS mendakwa tindakan berkenaan seolah-olah mendahului keputusan mahkamah serta berpotensi melemahkan pembangkang menjelang PRN Melaka.










