KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang dipaksa menandatangani dokumen untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan polis setakat ini membabitkan rakaman keterangan empat individu sebelum kertas berkenaan diserahkan kepada AGC pada 29 September lalu.
Katanya, polis belum dapat menentukan tindakan seterusnya kerana masih menunggu keputusan dan arahan daripada AGC.
Menurut beliau, sebarang langkah susulan akan dilaksanakan berdasarkan hasil penelitian jabatan itu serta mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai perkembangan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Ismail pada 8 September lalu.
Isu berkenaan mula mencetuskan kontroversi apabila empat undang terbabit pada 5 September mendakwa Ismail menandatangani proklamasi untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta negeri.
Pada 8 September, mereka mendedahkan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi berkenaan dalam satu sidang media.
Ismail kemudian mendakwa beliau menandatangani dokumen itu dalam keadaan terpaksa dan tanpa kerelaan, selain mempertikaikan kesahihannya. Beliau turut membuat laporan polis bagi membolehkan dakwaan berkenaan disiasat.
Namun, perkembangan itu menjadi perhatian apabila Ismail selepas itu menyatakan sokongan terhadap kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.










