KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menghentikan usaha mengesan rakyat negara ini yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal, meskipun kerajaan negara itu sudah menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata usaha mengesan mangsa masih diteruskan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dengan bantuan kerajaan tempatan serta pos pendakian di sepanjang laluan terjejas.
Beliau berkata, maklumat penjejakan yang diperoleh daripada pos pendakian menunjukkan lokasi terakhir kebanyakan rakyat Malaysia terbabit berada di laluan yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Menurutnya, Malaysia akan terus berusaha mendapatkan maklumat dan menjejaki pergerakan rakyatnya yang masih belum dapat dihubungi, walaupun Nepal kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan.
“Kita masih menghubungi pos pendakian dan menjejaki laluan rakyat Malaysia.
“Kita akan teruskan pencarian kumpulan rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi ini sehingga tiada lagi ruang untuk melakukan apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai perkembangan terkini usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi di Nepal pada 26 Ogos lalu, pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Usaha pencarian itu diteruskan bagi memastikan segala kemungkinan untuk mengesan rakyat Malaysia yang terbabit dapat diteliti, walaupun operasi SAR rasmi di Nepal sudah berakhir.










