SEPANG: Peguam yang mewakili dua anggota polis dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menafikan dakwaan kononnya khidmat guaman mereka dibiayai pihak tertentu atau kartel.
Kamal Hisham Jaafar berkata, beliau sendiri bersetuju mengendalikan kes berkenaan secara pro bono, tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kedua-dua anggota terbabit.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang mengaitkan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman dan Mohamad Faiz Saman dengan dakwaan sindiket atau kegiatan counter setting.
Menurutnya, dakwaan sedemikian tidak mempunyai kaitan dengan kejadian yang menjadi asas kepada pertuduhan terhadap Mohd Shuhaily di mahkamah.
“Saya sendiri yang mengendalikan kes ini. Saya mengambil secara pro bono, percuma. Tidak ada apa-apa bayaran saya kenakan kepada kedua-dua anggota ini.
“Bila mereka berdua mendapatkan saya dan mengatakan mereka ada masalah serta kesukaran kerana ketiadaan duit, mereka percaya tidak ada orang yang mahu membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.
Kamal Hisham berkata, keputusan memberikan khidmat guaman secara percuma dibuat selepas kedua-dua anggota itu mendapatkan bantuannya berikutan kesukaran yang dihadapi.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Ekmal dan Mohamad Faiz.
Pertuduhan itu berkaitan kejadian di Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.










