Dihantuk Kepala Empat Kali, Anggota Polis Jalani Rawatan Psikiatri

SEPANG: Dua anggota polis yang mendakwa menjadi mangsa kecederaan dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan dalam tempoh tujuh hari.

Peguam yang mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaafar, berkata tindakan berkenaan akan mengambil kira kecederaan fizikal serta kesan psikologi yang didakwa dialami anak guamnya, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman dan Mohamad Faiz Saman.

Beliau berkata, antara perkara yang akan diketengahkan ialah dakwaan Muhammad Ekmal, berpangkat Lans Koperal, dihantuk pada bahagian kepala sebanyak empat kali sehingga memerlukan rawatan lanjut.

Malah, selain mendapatkan rawatan biasa, anggota berkenaan turut dilaporkan menjalani rawatan psikiatri di pusat kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.

“Kami berharap mahkamah mengambil kira beberapa faktor dan kesan kepada mangsa, yang mana salah seorang, iaitu Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Dirman telah dihantuk kepala empat kali.

“Selain rawatan biasa, Ekmal juga terpaksa menjalani rawatan psikiatri di pusat kesihatan Salak dan juga di Hospital Cyberjaya.

“Kami berjanji dalam masa tujuh hari akan memfailkan tindakan tersebut di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.

Kamal Hisham berkata, tuntutan berkenaan akan dikemukakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira kecederaan dan kesan lain yang didakwa dialami kedua-dua anggota terbabit.

Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Ekmal dan Mohamad Faiz.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.

Mohd Shuhaily didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles