KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum negara akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kenaikan itu dibuat susulan kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 yang selesai dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada September lalu.
Bagaimanapun, kadar baharu itu tidak terpakai kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai hasil jualan kurang RM50 juta setahun.
Menurutnya, kajian menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) itu dilaksanakan secara komprehensif selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai dapatan kajian semula kadar gaji minimum serta formula penetapan kadar baharu.
Ramanan berkata, dapatan kajian mengesahkan dasar gaji minimum berkesan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan melindungi kebajikan pekerja.
Katanya, pelaksanaan kadar gaji minimum terdahulu juga tidak mencetuskan risiko peralihan pekerjaan secara meluas atau tekanan inflasi yang signifikan.
Bagaimanapun, hasil survei menunjukkan peningkatan kos bagi tiga keperluan asas utama, iaitu makanan, kediaman dan pengangkutan.
Sehubungan itu, kerajaan komited memperkukuh kuasa beli rakyat menerusi semakan kadar gaji minimum baharu bagi menangani cabaran kos sara hidup semasa.
Beliau berkata, penetapan kadar baharu itu mengambil kira lima indikator ekonomi, iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), gaji penengah, Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh dan kadar pengangguran.
Menurutnya, semakan berkala dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun dengan mengambil kira prinsip gaji kehidupan wajar, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ramanan berkata, KESUMA akan terus menggunakan pendekatan berasaskan bukti bagi memastikan dasar gaji minimum dapat meningkatkan pendapatan pekerja.
Langkah itu juga dijangka menyumbang kepada sasaran gaji penengah RM3,500 dan meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus menjelang 2030.










