KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menepis dakwaan bahawa penahanan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung kes khalwat merupakan satu bentuk penganiayaan atau perangkap yang dirancang terhadap beliau.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin, menegaskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan tugas penguatkuasaan berdasarkan aduan rasmi yang diterima serta mematuhi peruntukan undang-undang, bukannya bertindak untuk mengenakan mana-mana individu.
Beliau berkata, setiap aduan yang diterima perlu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tindakan yang diambil mempunyai asas dan mematuhi prosedur ditetapkan.
“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali. Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh.
“Jadi, percayalah Jais akan menjalankan siasatan sebaik mungkin dan kalau ada keterangan jelas kita akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026.
Mengulas keputusan memaklumkan kes itu kepada umum, Salehuddin menjelaskan langkah berkenaan bertujuan memberikan penjelasan kepada masyarakat bahawa undang-undang syariah dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan, latar belakang atau pengaruh seseorang individu.
Menurutnya, pelaksanaan undang-undang perlu berlandaskan peraturan yang ditetapkan dan tidak seharusnya dipengaruhi oleh persepsi atau tekanan luar.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung kes berkenaan, sebaliknya memberikan ruang kepada Jais untuk melengkapkan siasatan.
“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum selagi siasatan belum lengkap, kita perlu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan. Sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi menerusi kenyataan di Instagram mengesahkan beliau merupakan antara dua individu yang ditahan Jais atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya pada Khamis lalu.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama bagi memenuhi sebarang proses perundangan berkaitan kes itu.










